Rabu, 27 Mei 2009

Terengganu Guna e-Book

Seramai 10,438 murid tahun lima dari 127 sekolah di negeri ini akan mula belajar menggunakan buku elektronik 'e-Book' dengan penyerahan buku itu bermula semalam.

Ia merupakan fasa pertama daripada jumlah keseluruhan 25,000 unit e-Book yang akan diserahkan kepada pelajar pada tahun ini secara berperingkat melalui Pejabat Pendidikan Daerah.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dengan pelaksanaan program itu, pelajar dapat menguasai teknologi maklumat dan tidak perlu lagi membawa beg yang berat ke sekolah.
Jelasnya, e-Book itu dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat.Selain itu, dengan pelaksanaan program itu juga, Terengganu kini menyertai Portugal dan Venezuela iaitu negara yang menggunakan buku elektronik sepenuhnya menggantikan buku teks di sekolah.

"Pelaksanaan e-Book dengan akses Internet juga adalah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan capaian pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja dalam era k-Ekonomi," katanya.Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran buku elektronik itu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dekat sini semalam.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman;

Menurut Ahmad, agihan e-Book sama seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) iaitu pada penghujung tahun dan kemudahan itu mesti dipulangkan kembali kepada pihak sekolah.