Powered by Blogger.

Wednesday, 29 July 2009

Difailkan Dalam Topik:

Abadikan Tokoh Seberang Takir

Share
Kerajaan negeri merancang mewujudkan galeri bagi menempatkan maklumat berkaitan sejarah dan tokoh besar yang berasal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata DUN Seberang Takir mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan sudah melahirkan ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, seni dan pendidikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, galeri itu akan berfungsi sebagai tempat rujukan bukan saja untuk pelajar dan ahli sejarah, tetapi juga kepada orang ramai yang berminat mengkaji dan mengetahui susur galur sejarah DUN berkenaan.

"Sebenarnya impian untuk membina galeri ini sudah lama dan menjadi harapan saya untuk mewujudkannya (galeri) di DUN sendiri kerana kita sedia maklum ramai tokoh hebat dilahirkan di sini.

"Nama seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, penyair JM Aziz, Senator Rashid Ngah, Allahyarham Wan Shamsuddin Wan Mamat bukan lagi asing bagi kita dan mereka menunjukkan kehebatan dalam bidang masing-masing.

"Justeru, melalui pendedahan ini, kita berharap pelajar akan mengambil contoh dan lebih ramai manusia hebat akan lahir selepas ini," katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, galeri itu akan ditempatkan di satu bahagian Masjid Seberang Takir yang akan dibina dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM6 juta pada tahun depan.

"Masjid lama yang diasaskan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri akan dirobohkan dan diganti dengan masjid baru. Jadi kita akan sedia satu ruang dalam masjid itu untuk dijadikan galeri.

"Selain itu, tempat hentian bot penambang untuk ke Kuala Terengganu dan kios perniagaan turut dibina berdekatan masjid dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, kita harap DUN Seberang Takir muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka pada masa akan datang," katanya.

0 comments:

Post a Comment